2013-05-11

fahaman orang tua vs orang muda...

Kata orang tua...

"Kamu orang muda, tak pandai bersyukur.
Kamu lahir dalam kesenangan.
Nikmat dari titik peluh kami dahulu.
Kami melawan penjajah untuk merdeka.
Berperang dengan Jepun untuk pertahan tanah air.
Berperang dengan Cina pada 13 Mei untuk pertahankan Raja Melayu.
Pertahankan hak bumiputera.

Sanggupkah kamu serahkan negara ini kepada pendatang Cina?"




Anak muda jawap...

Kalian orang tua sudah selesa. Kalian sudah ada sebidang tanah. Kalian sudah ada sebuah rumah. Kalian sudah ada kerja, gaji dan pencen. Dahulu, kalian mengaji percuma. Kami, belum habis mengaji sudah berhutang. Habis belajar, belum tentu ada kerja. Kalau bekerja, belum tentu boleh miliki kereta, rumah, dan tanah. Mahu makan sekali sehari pun susah.

Ya, benar. Jepun sudah pulang. Inggeris sudah berundur. Namun kami dijajah oleh bangsa sendiri. Melayu korup dan khianat. Membiar bangsa sendiri hidup melarat. Dahulu, meski dijajah, kamu masih boleh memiliki rumah sendiri. Kini, meski merdeka, kami hanya mampu menyewa.

Dahulu, demi mempertahankan tanah air, kita menghalau Joseph, Donald, Mizuno, Kozumi. Kini kita hanya berdiam diri ketika tanah kita dirampas oleh Mahmud, Muhammad dan Abdullah.

Kamu pinta kami berwaspada dengan Cina dan India? Tapi kamu import Indon, Myanmar dan Bangla? Kamu minta kami waspada dengan Cina, tapi mereka lebih prihatin tentang nasib kami berbanding Melayu, bangsa sendiri. Kamu minta kami berwaspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang merompak tanah kita. Kamu pinta kami waspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang berdusta.

Saya masih ingat. Ketika anak Melayu bawah umur dirogol oleh pembesar Melayu, Cina yang dikutuk hari ini bangkit membela. Beliau (LGE) akhirnya dihukum penjara.

Kamu kata, Cina mahu hancurkan kita. Tapi yang dibina Melayu, roboh dan runtuh belaka. Kamu kata, Cina mahu kita binasa, tapi Melayulah yang merompak harta negara, merampas Royalti dari negeri yang mempunyai penduduk Melayu paling ramai.

Kamu kata, DAP benci Islam, tapi peruntukkan Islam dilipatganda berjuta-juta. Kamu dakwa UMNO bela Islam, tapi roboh masjid, tutup sekolah agama, sekat dakwah, batal biasiswa agama.

Kamu kata DAP rasis, ultra cina dan benci Islam, tapi Zairil Khir itu Melayu, Islam dan anak pemimpin UMNO. Lalu kami tanya, mana calon Cina dari UMNO? Mana calon Melayu dari MCA?

Kamu kata, Cina itu musuh kita. Saya tanya, jiran rumah kita siapa? Bermusuh dengan jiran bukan ajaran agama.

Kamu kata, mesti bantu Melayu kerana Cina semuanya kaya. Kami tanya, Ah Chong, penjaja sayur yang mengayuh basikal itu berbangsa apa?

Kamu kata, berpakat dengan Cina DAP haram. Kami tanya, MCA dan Chua Soi Lek itu Melayu?

Bila kami hormati Cina, kamu kata kami lupa asal usul. Yang kami ingat, kami berasal dari negara Malaysia yang berbilang bangsa, Cina, India Kadazan, Murut dan sebagainya.

Kamu kata, hanya BN yang boleh memerintah. Kami kata, Penang lebih cemerlang di bawah DAP, Selangor lebih maju di bawah PKR.

Malaysia apa yang kamu gambarkan kepada kami?

Kami inginkan Malaysia yang lebih damai. Warganya aman tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kami tidak perlu memaki dan mengutuk Cina untuk membela Melayu. Kami anak Malaysia!

Semoga rakan-rakan Cina dan India saya tabah dalam menghadapi segelintir ultra Melayu yang nakal.

2013-04-27

Tips Mudah Tuntutan Pelepasan Cukai

30 April adalah merupakan tarikh akhir untuk memfailkan cukai tahunan anda. Anda boleh memilih sama ada memfailkan cukai di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau memilih menggunakan kemudahan e-filing. Sebagai pembayar cukai, anda biasanya mempunyai beberapa soalan di minda: "Apakah cara yang paling mudah untuk menuntut pelepasan cukai"? . Berikut adalah 8 langkah mudah untuk menuntut pelepasan cukai apabila memfailkan cukai pendapatan anda.

1. Memaksimumkan potongan untuk buku, insurans dan komputer

Dalam usaha menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, Kerajaan membenarkan anda menuntut pelepasan cukai sehingga RM 1,000 ke atas pembelian buku dan majalah. Ini termasuk buku-buku elektronik yang dibeli dari Amazon.com atau Applestore Apple Inc 's. Ingat! simpan resit pembelian buku anda.

Jika potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahunan anda tidak mencapai RM 6,000, anda boleh menambah jumlah KWSP dengan jumlah bayaran insurans anda. Potongan KWSP tahunan anda (ditambah dengan bayaran insurans) adalah dikecualikan cukai sehingga RM 6,000.

Anda juga boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas pembelian komputer, tablet atau iPad baru. Ramai yang tidak tahu bahawa iPad atau tablet dianggap komputer peribadi dan layak mendapat pelepasan cukai selagi ciri-cirinya tidak membuat panggilan telefon atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Walau bagaimanapun, anda hanya dibenarkan untuk menuntut pengecualian ini setiap tiga tahun sekali.

2. Anak melayakkan anda mendapat pelepasan RM 1,000.

Sekiranya anda mempunyai anak, anda berhak mendapat pelepasan sebanyak RM 1,000 bagi setiap orang anak. Anak yang diberikan pengecualian cukai adalah untuk anak-anak yang berusia 18 tahun ke bawah, anak-anak berusia 18 tahun ke atas yang masih belajar dan juga anak-anak yang kurang upaya.

p/s - lagi ramai bilangan anak, lagi besar pelepasan cukai...

3. Pembelian peralatan sukan

Anda dibenarkan untuk menfailkan pelepasan cukai bagi pembelian peralatan sukan maksimum sebanyak RM300 seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Pastikan anda menyimpan resit sebagai dokumen sokongan.

Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa keahlian pusat kecergasan dan caj sesi latihan peribadi tidak layak mendapat pelepasan cukai kerana ia tidak dikategorikan sebagai peralatan sukan.

4. Memfailkan cukai secara berasingan sekiranya anda berkahwin.

Jika anda dan pasangan mempunyai pendapatan masing-masing, pertimbangkan untuk memfailkan cukai anda secara berasingan. Langkah ini dapat mengurangkan kesan terhadap kadar cukai.

5. Pembantu Rumah bagi penjagaan khas terhadap ibu bapa anda.

Pembayar cukai juga boleh menuntut potongan cukai sehingga RM5,000 (di bawah perbelanjaan perubatan) bagi pengambilan pembantu rumah untuk ibu bapa anda yang memerlukan penjagaan khas. Walau bagaimanapun, anda perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor bahawa ibu bapa anda memerlukan penjagaan khas.

6. Jimat elaun petrol anda bagi perjalanan ke atas tugas rasmi.

Bagi pekerja yang diberi elaun petrol untuk perjalanan yang dibuat ke atas tugas rasmi, anda boleh menuntut pengecualian cukai sehingga RM 6,000 setahun. Amalkan perancangan lebih awal dengan merekodkan perjalanan anda setiap hari dan tujuan perjalanan. Selagi perjalanan anda adalah berkaitan urusan rasmi, anda boleh membuat tuntutan dengan syarat ia tertakluk kepada elaun petrol had tahunan anda.

7. Zakat.

Sebarang potongan atau pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) melayakkan anda untuk pelepasan cukai.

Nota: Buat semua umat Islam, adalah lebih baik kita mengeluarkan zakat atas segala pendapatan dan simpanan kita. Mudah-mudahan rezeki kita sentiasa diberkati Allah SWT.

8. Isytiharkan pendapatan sewa anda dan sentiasa menyimpan rekod dengan betul.

Jika anda memiliki harta yang disewakan, anda perlu mengisytiharkan pendapatan sewa tersebut. Anda akan menghadapi risiko besar jika tidak mengisytiharkan pendapatan. Contoh, sekiranya rumah anda disewakan kepada ekspatriat. Ekspatriat biasanya akan membuat tuntutan terhadap syarikat mereka dan syarikat adalah tertakluk kepada pengaudit cukai.

Akhir sekali, anda perlu jujur dan menghormati undang-undang semasa memfailkan cukai tahunan anda. Sentiasa tingkatkan pengetahuan anda terhadap maklumat pengecualian cukai seperti syarat dan kelayakan pengecualian cukai. Ingat! Simpan dan dokumenkan segala perbelanjaan anda secara terancang. Ia akan memudahkan anda untuk memfailkan cukai anda pada masa akan datang.

Maklumat diperolehi daripada: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia